Sunday, January 2, 2011

Tiada undang-undang terhadap gay - Polis



Pengakuan seorang gay, Azwan Ismail dalam laman Youtube.

KUALA LUMPUR 1 Jan. - Pengakuan seorang lelaki Melayu mendakwa dirinya seorang pengamal seks songsang atau gay menerusi salah satu video kontroversi baru-baru ini bukan sahaja mengejutkan semua pihak, malah membangkitkan kesedaran budaya itu yang semakin serius terutama di bandar-bandar besar di negara ini.

Namun sedarkah undang-undang sedia ada di negara ini menyukarkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelaku seks songsang itu.

Cabaran pihak penguat kuasa seperti polis untuk membawa pihak terbabit ke muka pengadilan bukan mudah kerana keterangan kedua-dua pelaku seks songsang diperlukan dalam proses pertuduhan.

Menurut Pegawai Turus Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Razali Abu Samah, siasatan pelaku seks songsang adalah mengikut Seksyen 377 Kanun Kesesakan kerana meliwat.

"Bagaimanapun, amat sukar kedua-dua individu yang melakukan seks luar tabii itu tampil untuk memberi keterangan yang menyebabkan pihak berkuasa tidak boleh membawanya ke muka pengadilan.

"Ini berlaku kerana kedua-dua pelaku seks songsang itu melakukannya secara rela tanpa paksaan.

"Biasanya, dalam serbuan dibuat, individu berkenaan mendakwa ada 'main' berdasarkan kondom-kondom basah yang ditemui tetapi enggan memberi keterangan ketika dalam siasatan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sehubungan itu, katanya, undang-undang yang boleh dikenakan polis setiap kali serbuan dibuat di premis gay hanya mengikut Seksyen 3 Undang-undang Kesalahan Kecil Rumah Urut dan Akta Imigresen kerana menggaji pekerja asing bekerja tanpa permit sah dan salah guna pas lawatan.

"Pihak penguat kuasa DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) pula biasanya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 79 Akta Bangunan iaitu membina sekatan dinding tanpa kelulusan lesen.

"Tindakan DBKL terhadap premis-premis berkenaan termasuklah merobohkan dinding tanpa kelulusan premis tersebut," katanya.

Beliau berkata, situasi berbeza apabila seseorang tampil memberi keterangan atas dakwaan diliwat secara paksa yang membolehkan pihak polis membuat terus pertuduhan mengikut akta tersebut.

Jelas Razali, aktiviti yang dilakukan antara kedua-dua lelaki seperti mengurut, menari bersama secara undang-undang tidak salah tetapi perbuatan melakukan hubungan seks luar tabii itu dianggap tidak bermoral dan salah di sisi agama.

"Pandangan masyarakat terutama Islam terhadap golongan gay tidak sama berbanding di negara-negara barat di mana perkahwinan sesama lelaki dibenarkan.

"Polis bukan nak buat satu perubahan yang besar tetapi tindakan yang diambil setakat ini penting supaya golongan gay sedar pihak berkuasa memandang serius aktiviti-aktiviti negatif yang dilakukan mereka.

"Tanpa sebarang tindakan undang-undang daripada pihak berkuasa, ditakuti golongan tersebut menganggap negara ini membenarkan dan 'menghalalkan' perlakuan seumpama itu," katanya.

psst:: Sesungguhnya Allah telah menjadi kan undang-undang Hudud dan qisas untuk dunia dan kita sebagai HAMBA..dan ia nya adalah SEBAIK BAIK undang2!!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...