Sunday, January 2, 2011

Kegiatan gay dilindungi VIP?

KUALA LUMPUR 1 Jan. - Pusat aktiviti kumpulan pengamal seks songsang atau kelab gay di negara ini dikesan bergerak secara tersembunyi dan sukar dikesan malah dipercayai 'dilindungi' golongan orang kenamaan (VIP).

Seperti 'tidak boleh disentuh', agensi penguat kuasa turut berhadapan cabaran menjalankan operasi di lokasi-lokasi panas yang dikenal pasti menjalankan aktiviti seks songsang.

Selain berselindung di sebalik premis urut, pusat hiburan, kelab gay telah lama wujud tetapi menggunakan nama persatuan atau pertubuhan yang sah.

Difahamkan, kebanyakan golongan gay terbabit terdiri daripada mereka yang berpendidikan tinggi, profesional, tokoh korporat dan selebriti.

Jika dilihat blog-blog dan laman sosial popular Facebook turut mendedahkan 'keberanian' golongan gay itu berkongsi pengalaman peribadi dan kehidupan mereka sebagai pengamal seks songsang.

Menurut sumber, VIP terbabit dikatakan pernah menghubungi dan memberi amaran keras kepada pihak penguat kuasa sekiranya premis-premis kelab gay terbabit diserbu.

"Maklumat peribadi seperti nombor telefon penguat kuasa dengan mudah dia perolehi, sedangkan kita pula gagal menghubungi kembali talian digunakannya," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Razali Abu Samah berkata, polis mengenal pasti empat kelab gay yang berselindung di sebalik pusat urut di sekitar ibu negara.

Katanya, ia berdasarkan penemuan gambar-gambar lelaki berbadan sasa yang tidak berbaju diletakkan dalam premis selain penemuan kondom-kondom telah digunakan.

Tambahnya, selain itu, terdapat juga iklan urutan batin B2B (badan ke badan) yang menawarkan khidmat seks songsang.

"Siasatan mendapati terdapat lelaki warga asing juga bekerja sebagai 'tukang urut' di premis berkenaan.

"Polis berjaya menahan 28 lelaki warga asing dari Pakistan, Iran dan Myanmar daripada 100 lelaki yang diperiksa di premis-premis tersebut tahun ini," katanya.

Menurut Razali, selain rumah urut, pihaknya turut mendapat maklumat pusat kecergasan diri sering dikunjungi golongan gay kerana mereka menjaga penampilan diri selain teliti dalam aspek kebersihan.

"Golongan gay tidak segan silu mempamerkan kemesraan mereka di khalayak ramai malah pernah menggoda pegawai-pegawai polis ketika serbuan dibuat.

"Sifat tidak malu itu juga jelas dilihat ketika mereka menari bersama-sama dalam keadaan separuh bogel ketika serbuan dibuat di premis urut berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai bagi menyalurkan maklumat dan bersama membendung budaya gay daripada terus menular dalam masyarakat.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...